Felda United mengesahkan status selaku juara Liga Perdana 2018 selepas menundukkan Sarawak 3-1 di Stadium Negeri, Petrajaya, petang tadi.

Walaupun berbaki dua aksi, kutipan 41 mata hasil daripada 18 perlawanan membolehkan pasukan bimbingan B. Sathianathan itu menjuarai Liga Perdana buat kali kedua, selepas melakukannya pada 2010.

Beraksi di tempat lawan, Felda hanya memerlukan lima minit untuk mendahului selepas pemain import, Gilberto Fortunato, membuka tirai jaringan, sebelum penyerang dari Brazil, Thiago Augusto Fernandes, menambah derita skuad Bumi Kenyalang itu apabila menggandakan kelebihan menerusi gol kedua pada minit ke-39.

Walaupun ketinggalan dua gol, anak-anak buah Andrew Gillan nyata tidak berputus asa dan asakan bertali-arus akhirnya membuahkan hasil apabila Mateo Roskam merapatkan jurang pada minit ke-45.

Bagaimanapun, Felda tidak memberi ruang buat tuan rumah untuk menyamakan kedudukan apabila Gilberto Fortunato menyempurnakan peluang menerusi sepakan penalti pada minit ke-68 dan kedudukan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Felda United bakal melengkapkan baki saingan Liga Perdana pada musim ini apabila turun berdepan PDRM FA pada 23 Julai, sebelum melabuhkan tirai menentang Pulau Pinang, lima hari kemudian.

Sementara itu, dalam saingan Liga Super, Kedah gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri selepas diikat seri 1-1 oleh Terengganu, sebentar tadi, tatkala kedua-dua pasukan terlepas peluang untuk memintas pasukan tangga kedua, Perak.

Pasukan Hijau Kuning itu meraih gol pembukaan menerusi pemain tengah, Baddrol Baktiar, pada minit ke-44 sebelum Mohamad Kamal Azizi Mohamad Zabri menyamakan kedudukan dalam babak kedua.

Keputusan itu menyaksikan Kedah kini berada di tangga ketiga liga, berkongsi 31 mata dengan Terengganu yang berada di kedudukan keempat sambil Perak memegang kelebihan satu mata untuk berada di belakang pasukan yang sudah mengesahkan kejuaraan Liga Super 2018, Johor Darul Ta'zim (JDT).


Kredit foto: Facebook Football Malaysia LLP