FELDA UNITED 2 UiTM FC 0

Felda United mengukuhkan kedudukannya di takhta Liga Perdana selepas menewaskan UiTM FC 2-0 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam ini.


Pelawat memulakan saingan dengan baik apabila memberikan tentangan sengit sepanjang separuh masa pertama, namun mereka terpaksa akur dengan ketajaman Felda yang menemui dua gol selepas rehat.

Tuan rumah memperoleh jaringan pertama menerusi Thiago Augusto Fernandes pada minit ke-61.

Jaringan tersebut menjadi pemangkin semangat Felda, dengan mereka menggandakan kelebihan menerusi jaringan Wan Zack Haikal Wan Noor pada minit ke-83.

Kemenangan itu membolehkan Felda berkelebihan lapan mata selepas mengharungi 11 perlawanan manakala UiTM berada di tangga keenam dengan mengumpul 15 mata, dua mata di depan Terengganu II yang terikat 1-1 dengan Felcra FC di Kuala Terengganu.

Terengganu II dan Felcra masing-masing meraih gol menerusi Mohamad Nor Ubaidullah Abdul Rahman dan Akanni-Sunday Wasiu.

Sementara itu, UKM FC terus ditekan dalam zon penyingkiran selepas tewas 2-1 di tangan PDRM.