Felda United mencerahkan peluang meraih kejuaraan Liga Perdana meskipun sekadar seri 1-1 dengan Felcra FC di Stadium Shah Alam, semalam.

Babak pertama menyaksikan Felda tenang mematahkan segala ancaman lawan dengan kapten pasukan, Shukor Adan, bersama Thiago Junior Aquino menjelmakan kombinasi ampuh di benteng.

Felda seharusnya mendahului pada babak pertama apabila Thiago Augusto Fernandes dikasari pertahanan lawan dan pengadil menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-26.

Namun, sepakan Agusto diselamatkan penjaga gol Felcra, Fadzly Rahim, pada minit ke-28.

Felcra kemudian mula mengimbangi perlawanan dengan kerap melancarkan gerakan menerusi tonggak tengah, Endrick dos Santos, dan pemain sayap, David Laly.

Selepas rehat, Felda kembali mengemaskan gerakan dan berjaya mendahului perlawanan pada minit ke-76.

Gilberto Fortunato tenang mengawal hantaran Shukor sebelum melakukan umpanan yang disudahkan Christie Jayaseelan untuk pelawat berada di depan.

Namun, selang dua minit, Felcra bingkas bangkit menerusi penjaring terbanyak mereka, Anselmo da Silva.

Meskipun kedua-dua pasukan kerap berbalas serangan selepas itu, kedudukan 1-1 kekal sehingga wisel penamat.

"Kami bermain baik menentang pasukan yang sangat kuat. Mereka pasukan terkuat dalam Liga Perdana dan beraksi di tahap lain, bukan tahap liga ini.

"Ia adalah mata yang penting kepada kami. Kami mempunyai banyak peluang dan boleh memenangi perlawanan ini. Saya sangat gembira dengan mata ini," kata jurulatih Felcra, Tarcisio Pugliese.

"Bagi saya, ia keputusan yang baik. Jadi, kami akan fokus kepada perlawanan lain. Sukar bermain di atas padang ini, kalau tiga pasukan menjadi tuan rumah di padang ini, saya ingat 'mampuslah'. Padang ini tak boleh tahan," kata jurulatih Felda United, B. Sathianathan.