Felcra terus kejar pendahulu liga

Oleh Staff Writer 22 Mei 2018 3311
Felcra terus kejar pendahulu liga
FELCRA FC 3 TERENGGANU FC II 1

Felcra FC terus mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Perdana 2018 selepas menewaskan Terengganu FC II 3-1 di Stadium Shah Alam, semalam.


Felcra turun dengan misi mendapatkan mata penuh untuk terus merapatkan jurang dengan pendahulu liga, Felda United, manakala Terengganu FC II pula perlu meraih tiga mata untuk mengeluarkan diri daripada kelompok bawahan liga.

Tuan rumah hanya memerlukan enam minit untuk membuka tirai jaringan menerusi penyerang utama, Anselmo Arruda da Silva.

Pelawat berpeluang untuk menyamakan kedudukan empat minit kemudian, namun percubaan Engku Muhammad Nur Shakir dinafikan penjaga gol Felcra, Fadzly Rahim.

Terengganu FC II kemudian dihadiahkan sepakan penalti setelah Engku Muhammad dikasari Leonardo De Carvalho pada minit ke-32 dan Sebastien Mauriece Thurier tenang menyempurnakan peluang itu untuk menyamakan kedudukan buat pelawat.

Babak kedua menyaksikan perlawanan seimbang tatkala kedua-dua pasukan kerap berbalas serangan tetapi Da Silva sekali lagi menjelmakan sentuhan berbisanya menerusi jaringan kedua buat skuad bimbingan Tarcísio Pugliese pada minit ke-73, sebelum pemain dari Brazil tu melengkapkan hatriknya setelah menyempurnakan umpanan Alif Samsuddin, tujuh minit kemudian.

Kedudukan 3-1 kekal sehingga wisel penamat, membolehkan Felcra terus berada di tangga kedua liga dengan 21 mata.

"Ia satu perlawanan yang baik, kami bermula dengan bagus. Kemudian, kami menjaringkan gol . Rentak kami masih belum kukuh sehingga menyebabkan kami dibolosi.

"Bagaimanapun, kami bangkit dalam babak kedua untuk memenangi perlawanan, itu paling penting," kata Pugliese.

"Saya rasa aksi kami pada kali ini menunjukkan barisan depan tidak begitu menjadi. Kami tidak mampu bersaing dengan pertahanan lawan. 

"Ia dapat dilihat dengan ketara, terutama apabila kami menurunkan ramai pemain muda," ujar pembantu ketua jurulatih Terengganu FC II, Tengku Hazman Raja Hassan.

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen