Johor Darul Ta’zim II (JDT II) menangguhkan hasrat Felcra FC untuk mengesahkan lebih awal slot ke Liga Super musim depan selepas menewaskan pasukan bimbingan Tarcisio Pugliese itu di depan penyokong sendiri buat kali pertama dalam saingan Liga Perdana, semalam.

Aksi semalam menjadi perlawanan yang cukup penting untuk Felcra bagi memastikan kedudukan selesa serta mengesahkan tempat dalam Liga Super musim depan.

Kedua-dua pasukan memulakan aksi dengan seimbang dalam misi memburu gol pembukaan sebelum tuan rumah memecah kebuntuan dengan jaringan Anselmo Arruda selepas menerima hantaran sepakan percuma Endrick Dos Santos.

Namun, kegembiraan mereka tidak bertahan lama apabila selang enam minit kemudian, JDT II menyamakan kedudukan menerusi Nicolas Fernandes yang mudah menyempurnakan peluang di depan gawang.

Felcra semakin terdesak apabila pelawat terus menguasai perlawanan setelah percubaan Mohd Amer Saidin tepat menuju ke dalam gawang untuk mendahului dengan dua jaringan pada minit ke-40.

Selepas mengharungi babak kedua yang lebih banyak mempamerkan penguasaan bola di tengah padang, kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat permainan, sekaligus membuatkan Felcra terpaksa menangguhkan hasrat untuk mengesahkan tempat ke Liga Super lebih awal.

"Kami harap dapat memenangi perlawanan ini. JDT II adalah pasukan yang kuat dan dibarisi dengan pemain-pemain yang memiliki kelebihan teknikal, jadi kami sedar ia akan menjadi sukar.

"Kami mahu menang dan tidak mengapa, masih ada peluang lain," kata Pugliese.

"Kami tahu kami mampu melakukan sesuatu. Kami hadir ke sini untuk berjuang dan cuba mempamerkan permainan menarik dalam setiap perlawanan tetapi apa yang penting adalah tiga mata," ujar ketua jurulatih JDT II, Benjamin Mora.