FELDA UNITED 1 FELCRA FC 1

Felcra FC melonjak ke tangga kedua Liga Perdana selepas merakamkan keputusan seri kelima musim ini apabila mengikat Felda United 1-1 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, sebentar tadi.


Kedua-dua pasukan turun dengan reputasi cemerlang tanpa kalah selepas lapan aksi.

Anselmo Arruda da Silva atau lebih dikenali sebagai Casagrande hampir menjelmakan kemenangan buat pelawat, namun tandukan berbisanya ketika permainan menjengah sejam dibatalkan selepas gerakan sepakan penjuru itu terlebih dahulu keluar dari garisan gol.

Terdahulu, Felda cukup garang sebaik sepak mula untuk memecah kebuntuan pada minit ketiga susulan kelekaan pertahanan anak buah Tarcisio Pugliese itu menerusi Thiago Fernandes.

Pemain import, Iain Ramsay, turut memiliki beberapa kesempatan untuk mengukuhkan kedudukan Felda, namun gagal diterjemahkan.

Felcra, yang berusaha mengimbangi permainan di sebalik kesukaran menembusi benteng lawan, bagaimanapun berhasil mengikat kedudukan menerusi tandukan Casagrande pada minit ke-24.

Felda semakin ghairah mengatur asakan dalam separuh masa kedua, begitupun Felcra yang memiliki kemampuan melancarkan serangan balas hampir menghukum tuan rumah, sekali lagi menerusi kelibat Casagrande tetapi jaringan itu tidak disahkan.

Impian Felda untuk meraih mata penuh di depan penyokong sendiri tidak kesampaian apabila Felcra mula mengukuhkan kubu mereka pada penghujung permainan.

Kedudukan Felcra itu turut dibantu dengan kekalahan 2-3 Sarawak -- tergelincir ke tangga ketiga -- kepada UiTM FC di Shah Alam, dalam satu lagi aksi Liga Perdana malam ini.