Biarpun mempamerkan aksi memukau dalam saingan Liga Perdana 2018 yang menyaksikan Felcra FC berjaya "dinaikkan pangkat" beraksi dalam Liga Super musim depan, ia tidak cukup meyakinkan pengurusan tertinggi lembaga berkenaan yang mengumumkan pembubaran pasukan.

“Felcra FC akan dibubarkan kerana memerlukan kos sebanyak RM8 juta semusim dan tidak memberi keuntungan.

“Beberapa anak syarikat juga akan ditutup dan digabungkan dalam usaha melakukan perubahan struktur dalam Felcra,” kata Pengerusi Felcra, Datuk Mohd Nageeb Abdul Wahab, dalam sidang media pertamanya selepas dilantik memegang jawatan itu dalam syarikat berkaitan kerajaan tersebut di Wisma Felcra, hari ini.

Terdahulu, dalam sidang media berkenaan, Mohd Nageeb mengumumkan pelantikan Mohd Nazrul Izam Mansor sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad yang baharu.

Mengulas lanjut mengenai pembubaran pasukan bola sepak itu, Mohd Nageeb berkata ia langkah terbaik Felcra selepas menilai situasi ekonomi semasa sambil menambah pembubaran Felcra FC adalah bagi memastikan aliran tunai syarikat itu dalam keadaan stabil.

Beliau berkata Felcra menilai setiap sudut sebagai langkah penjimatan, malah mereka kini perlu berdikari dalam hal kewangan selepas kerajaan tidak lagi menyalurkan dana kepada syarikat berkenaan.

Kelab Bolasepak Felcra yang berusia enam tahun memulakan aksi kompetitif mereka dalam Liga FAM.

Pasukan yang pernah melahirkan penyerang sensasi, N. Thanabalan, itu berjaya menempatkan diri dalam saingan Liga Perdana 2018 selepas menjuarai Liga FAM musim lalu.

Mengharungi musim dengan cemerlang pada penampilan pertama dalam Liga Perdana musim ini, skuad bimbingan jurulatih dari Brazil, Tarcisio Pugliese, itu berjaya menempatkan diri dalam kalangan dua pasukan terbaik di penghujung musim 2018, sekali gus ditawarkan slot beraksi dalam Liga Super musim depan.

-- BERNAMA

Imej: Asiana