Ketua Pegawai Eksekutif, Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn Bhd, Fazli Mohammad, mengakui dia bukan adiwira popular 'Superman' yang mampu menyelesaikan masalah hutang pemain dengan sekelip mata.

Fazli berkata hutang tertunggak sekitar RM3 juta hingga RM4 juta memerlukan masa dan kaedah yang sesuai untuk diselesaikan dan memberi jaminan pihaknya sedang merangka strategi terbaik bagi membawa keluar Kelantan daripada isu yang memalukan itu.

"Selepas KRW mengambil alih pengurusan skuad Liga Perdana, Piala Presiden dan Piala Belia Kelantan, ramai pihak beranggapan semua masalah hutang yang ditanggung boleh diselesaikan dengan segera.

"Mereka ingat saya boleh jadi 'Superman' dalam sebulan dua ini yang boleh selesaikan semua masalah yang ada.

"Hakikatnya, ada jumlah (hutang) yang besar dan kecil. Bergantung juga kepada tuntutan semasa pemain. Kalau kita bayar tanpa rundingan, ia akan memberi kesan kepada bajet pasukan yang ada sekarang," katanya.

Fazli juga sentiasa berpegang kepada janji awalnya untuk membebaskan KAFA daripada beban hutang tertunggak selain mahu menjadi model pengurusan kelab bola sepak yang profesional.

"Alhamdulillah, bermula 1 April ini, pegawai saya akan menghubungi bekas pemain untuk berbincang mengenai kaedah pembayaran tertunggak mereka," tambah Fazli.

"Memang itu tanggungjawab KRW sejak kami mengambil alih pengurusan bola sepak daripada KAFA. Selain merombak pengurusan, yang paling utama ialah menstruktur semula hutang tertunggak.

"Bekas pemain yang masih boleh bermain mungkin kita beri peluang untuk beraksi sebagaimana konsep menang-menang yang dilakukan bersama bekas kapten, Mohd Badhri Radzi atau Piya."

Dalam perkembangan sama, Fazli memberitahu pihaknya sedang berusaha menyelesaikan tuntutan tunggakan gaji melibatkan bekas pemain dan jurulatih import seperti diarahkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

"Bekas pemain import yang buat aduan kepada FIFA, kami akan buat bayaran sebelum 5 April ini. Sekarang, kami tengah urus bayaran kepada bekas jurulatih Kelantan, Alfredo Gonzales," ujarnya.