Pengendali skuad PDRM, Fauzi Pilus, menaruh keyakinan tinggi dapat melaksanakan sasaran kelompok dua teratas saingan Liga Perdana 2019 yang akan membuka tirai bulan depan.

Ini merupakan musim ketiga bagi skuad Sang Saka Biru dalam kempen Liga Perdana selepas kali terakhir menjejakkan kaki dalam Liga Super pada 2016.

Musim lalu, mereka sekadar menamatkan saingan di kedudukan kelapan di samping tersingkir dalam pusingan kedua Piala FA.

Perubahan dalam pasukan menyaksikan PDRM kini lebih menggunakan khidmat pemain yang juga anggota dalam badan beruniform itu.

Berdasarkan persaingan musim ini, pengurusan PDRM menetapkan sasaran dua terbaik bagi memburu tiket kembali ke kancah Liga Super.

"Kami menyahut cabaran pihak pengurusan bagi mendapatkan semula tempat dalam Liga Super. Kami akan berusaha menampilkan aksi berkualiti dalam saingan Liga Perdana kali ini," kata Fauzi.

Di samping khidmat pemain tempatan, PDRM turut diperkuatkan empat pemain import, antaranya bekas tonggak di bahagian serangan, Andrezinho.

Selain itu, mereka juga mendapatkan pemain kelahiran Korea Selatan, Lee Chang-hoon yang pernah beraksi dengan Melaka musim lalu.

Bagi Fauzi, kehadiran pemain import berkenaan diharap dapat menjadi pemisah di antara kualiti yang ada pada pasukannya berbanding pencabar lain.

"Kehadiran Andrezinho akan meningkatkan kualiti PDRM dan dia juga tidak asing dengan kami kerana pernah beraksi bersama sebelum ini," ujarnya.