Penjaga gawang, Mohamad Faridzuean Kamaruddin, bertekad memberi aksi terbaik sepanjang aksi pramusim sambil mengintai peluang membarisi kesebelasan utama skuad The Red Warriors (TRW) dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

"Saya akui cabaran merebut tempat sebagai penjaga gol utama Kelantan cukup sengit dan mencabar.

"Insya-Allah, saya akan berikan yang terbaik semasa latihan dan terserah kepada jurulatih (Yusri Che Lah) untuk membuat keputusan," katanya.

Faridzuean, yang juga bekas penjaga gol Melaka dan Kuala Lumpur, menolak andaian kelebihan berpihak kepadanya memandangkan dia sudah lama berada di bawah kendalian jurulatih kelahiran Perlis itu.

"Ada dua lagi penjaga gol (Fikri dan Abdul Arif) yang sedang menjalani latihan sekarang. Masing-masing memiliki keupayaan tersendiri. Kami akan bersaing secara sihat dan ambil serius taktikal pasukan.

"Secara peribadi, saya beruntung kerana masih dapat bergabung dan menerima ilmu di bawah seorang jurulatih yang kaya dengan pengalaman," katanya.

Untuk rekod, Faridzuean yang telah pulih sepenuhnya daripada kecederaan, diturunkan Yusri ketika Kelantan seri 2-2 dengan Terengganu II dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Muhammad IV, Jumaat lalu.

Kredit Foto: Kelantan FA


Editor: Ammar Hakim