Peluang untuk Pulau Pinang bermain dalam Liga Super musim depan masih terbuka kerana Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) bercadang untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) terhadap keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Presiden FAP , Dr. Amar Pritpal Abdullah, hari ini berkata beliau berasa sangat kecewa dengan keputusan FIFA yang memotong enam mata daripada pasukan disebabkan kesilapan yang dilakukan oleh pengurusan lepas.

Katanya, pengurusan FAP yang baru sanggup membayar caj penalti walaupun berganda daripada tuntutan wang asal sekiranya keputusan pemotongan enam mata daripada pasukan negeri itu dapat ditarik balik oleh FIFA.

"Kami akan membuat rayuan kepada CAS terhadap keputusan FIFA yang dilihat begitu keras kepada pasukan Pulau Pinang yang baru berjaya menempuhi segala rintangan untuk layak ke Liga Super musim depan," katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.

Ahad lalu, FAP dikenakan pemotongan enam mata oleh FIFA ekoran gagal mengikut arahan dan tempoh masa ditetapkan Jawatankuasa Tatatertib FIFA untuk menjelaskan tuntutan rasmi daripada bekas pertahanan import dari Brazil, Reinaldo Lobo.

Dr Amar berkata FAP dengan bantuan kerajaan negeri sedang berusaha untuk melantik peguam yang berpengalaman untuk mengemukakan rayuan kepada CAS dalam tempoh terdekat.

"Proses rayuan sedang diusahakan dan saya menjangka keputusan rayuan itu tidak akan mengambil masa panjang, mungkin dalam masa satu atau dua bulan sahaja," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pulau Pinang, Soon Lip Chee, yang turut hadir dalam sidang akhbar itu berkata kerajaan negeri berharap CAS akan membuat siasatan terhadap rayuan pasukan Pulau Pinang dan memberikan satu keputusan yang adil.

Beliau memberitahu setiap tahun kerajaan negeri akan memberi lebih RM5 juta untuk FAP menguruskan pasukan Pulau Pinang selain mendapatkan khidmat pemain yang boleh meningkatkan mutu bola sepak negeri.

"Selepas usaha yang diberikan oleh barisan pemain, jurulatih dan bahagian pengurusan, kami masih berharap pasukan Pulau Pinang akan dapat bermain dalam Liga Super musim depan," katanya.

Pada 25 Mac lalu, FIFA telah menghantar surat mengarahkan FAP membayar US$90,000 (RM370,000) bersama faedah lima peratus kepada Lobo.

FIFA juga mengenakan denda tambahan USD10,000 (RM41,000) kerana kegagalan FAP membuat bayaran seperti yang diarahkan Kamar Penyelesaian Pertelingkahan Kebangsaan (NDRC).

Pada 17 April, FAP telah membuat pembayaran berjumlah USD92,597.72 (RM386,391.77) ke akaun bank Lobo tanpa pengetahuan FAM dan pada 29 April, peguam dilantik Lobo telah menghantar surat kepada FIFA untuk memaklumkan telah menerima bayaran tersebut, namun FAP tidak membuat pembayaran yang sepatutnya, iaitu USD97,041.83 (RM399,379.06).

Kredit foto: MFL

-- BERNAMA