Pemain tengah Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat, terlepas peluang beraksi dalam pertemuan menentang Negeri Sembilan esok selepas digantung dua perlawanan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana berkelakuan ganas sewaktu menentang Sarawak, 6 April lalu.

Jawatankuasa Tatatertib FAM memutuskan pemain skuad B-23 negara itu bersalah menumbuk perut pemain Sarawak, Mohd Badrul Hisham Mohamad Hussein, dalam perlawanan Liga Pedana di Stadium Negeri, Kuching.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa berkenaan semalam dengan satu penggantungan adalah secara automatik, iaitu ketika Kelantan menentang PDRM, 12 April lalu.

Nik Akif turut diberi amaran keras selain akan dikenakan hukuman lebih berat sekiranya mengulangi kesalahan sama, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baljit berkata mesyuarat itu turut memutuskan hukuman penggantungan perlawanan ke atas tiga pemain Liga M3 dengan dua daripada mereka dikenakan penggantungan enam perlawanan sementara seorang lagi digantung empat perlawanan berserta denda RM500.

Jasmir Mehat (SAMB FC) dan Muhammad Rizqi Azman (DDM FC) digantung enam perlawanan termasuk satu penggantungan secara automatik, namun kedua-duanya digantung bagi tiga perlawanan terlebih dahulu manakala baki ditangguhkan, tertakluk kepada kelakukan baik pemain selama enam bulan dari tarikh penerimaan keputusan.

"Jika pemain didapati bersalah mengulangi kesalahan yang sama, baki hukuman penggantungan tiga perlawanan ini akan berkuat kuasa dengan serta-merta," katanya.

Penggantungan tiga perlawanan ke atas Jasmir, akibat kad merah yang diterimanya semasa menentang Ultimate FC pada 6 April di Padang Pulapol, melibatkan perlawanan menentang Glory United, Ahad lalu (penggantungan secara automatik), Angkatan Tentera (Ahad ini) dan Kelantan United FC (28 April ini).

Penggantungan Muhammad Rizqi yang didapati bersalah memukul bahagian leher pemain Puchong Fuerza FC, Zulkefli Baharuddin, di Stadium Mini MMU, Cyberjaya, 7 April lalu, membabitkan perlawanan menentang Ultimate FC, Sabtu lalu (penggantungan secara automatik), Glory United FC (esok) dan Angkatan Tentera (28 April ini).

Pemain Tun Razak FC, Mohammad Firdaus Yusof, pula dikenakan penggantungan empat perlawanan dan denda RM500 kerana menunjukkan isyarat lucah terhadap pengadil perlawanan.

"Penggantungan empat perlawanan, termasuk satu penggantungan secara automatik dan hukuman denda sebanyak RM500 dikehendaki dijelaskan dalam tempoh 14 hari bekerja dari tarikh penerimaan keputusan dan diberikan amaran keras dengan hukuman lebih berat jika mengulangi kesalahan sama," tambahnya.

Mohammad Firdaus menjalani penggantungan secara automatik dalam perlawanan Tun Razak FC menentang Ultimate FC (30 Mac) dan berbaki tiga lagi penggantungan, iaitu menentang Kelantan United (Ahad ini), Kuching FA (27 April) dan BTK FC (15 Jun).

-- BERNAMA