Pengendali PDRM, E. Elavarasan, mengakui faktor kepenatan pemain menganggu prestasi mereka untuk meraih kemenangan kedua dalam Liga Perdana musim ini selepas terikat 1-1 dengan Terengganu FC II (TFC II) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, semalam.

PDRM mengharungi jadual padat dalam Liga Perdana dan pusingan ketiga Piala FA yang membuatkan pasukan itu tidak memiliki waktu rehat mencukupi seperti pasukan lain.

Kepenatan kelihatan amat ketara meskipun skuad Sang Saka Biru itu mendominasi sepanjang 90 minit permainan.

"Dalam dua tiga minggu ini, banyak peningkatan dapat disaksikan dalam pasukan, namun ia masih belum cukup kerana kami perlu mencari kemenangan.

"Banyak usaha perlu dilakukan daripada segi pertahanan, pemain tengah dan serangan.

"Saya berasakan pemain saya sedang fokus untuk melakukan perubahan dalam pasukan, namun kami masih kekurangan kualiti," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih TFC II, Tengku Hazman Raja Hassan, mengakui PDRM mempamerkan aksi baik, namun berasa lega kerana masih mampu berkongsi mata di tempat lawan.

"Saya sudah agak kami akan berdepan kesukaran apabila beraksi di sebelah petang.

"Kami agak bernasib baik kerana cuaca tidak berapa panas hari ini.

"Kami sememangnya bergelut dalam babak kedua selepas memberikan aksi terbaik dalam babak pertama," katanya.