Pengendali PDRM FA, Zulhamizan Zakaria, masih belum memutuskan dua lagi kedudukan awang import pasukannya dalam saingan Liga Perdana musim depan.

Setakat ini, Zulhamizan masih menguji beberapa calon import untuk menguatkan cabaran The Cops. Ketika ini, mereka hanya mengesahkan khidmat pemain tengah, Shim Woon Sub, dan juga pemain tengah dari Jepun, Sunsuke Nakatake, yang dipancing dari Kuantan FA selaku tonggak dari luar.

"Kami masih mencari pemain di posisi serangan dan sedang menilai semula pertahanan kami.

"Calon yang ada hari ini (semalam) memperlihatkan 30-40 peratus karakter sebagai penyerang. Mungkin dalam tiga atau empat sesi lagi, dia akan mendapat rentak dan kami mempunyai ujian getir dengan Negeri Sembilan (Khamis ini)," katanya ketika ditemui dalam aksi persahabatan dengan ATM yang berkesudahan PDRM menang 3-1, semalam.

Dalam masa sama, Woon Sub mengakui sudah berasa selesa selepas seminggu bersama PDRM.

"Saya selalu bersikap positif dan yakin akan mengharungi aksi pada musim depan untuk menjulang PDRM ke Liga Super," kata pemain dari Korea Selatan itu.