Sang Badak bakal diperkuat dua pemain import baharu apabila mengikat penyerang dari Serbia, Paunovic Rodoljub, dan bekas pertahanan skuad kebangsaan Zambia, Francis Kasonde.

Paunovic, 31, menandatangani kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), baru-baru ini, manakala Francis, 30, turut berbuat demikian, semalam, dengan dua pemain berkenaan akan beraksi sehingga tamat musim ini.

Bagaimanapun, difahamkan sekiranya dua pemain itu menunjukkan prestasi baik, mereka akan ditawarkan kontrak baharu untuk kekal bersama pasukan, musim depan.

Pengurus pasukan, Datuk Juil Nuatim, ketika dihubungi di Kota Kinabalu, semalam, mengesahkan perkara itu dan berkata pemilihan dua pemain berkenaan adalah keputusan yang dibuat panel pemilih yang diketuai pengendali pasukan, Jelius Ating.

Paunovic dan Francis menggantikan pemain import sebelum ini, iaitu Masaya Jitzono yang meminta untuk dilepaskan dan Igor Cerina yang mengalami kecederaan.

Paunovic sebelum ini pernah beraksi bersama beberapa kelab di Thailand, Serbia dan Montenegro dengan pretasi terbaiknya adalah ketika mewakili Thai Honda dalam liga utama Thailand apabila meledak 41 gol daripada 55 perlawanan pada musim 2014-2015.

Sementara itu, Francis sebelum ini beraksi di negara asalnya bersama kelab Power Dynamos dan dia juga pernah membuat penampilan sebanyak 35 kali bersama skuad kebangsaan Zambia.

Dia juga memainkan peranan penting ketika Zambia menjulang Piala Negara-Negara Afrika pada 2012.

Skuad Badak sebelum ini mengikat dua pemain dari Korea Selatan, iaitu Lee Gil Hoon dan Heo Jaenyong, bagi menggantikan Jonathan Behe serta Sofiane Choubani yang diketepikan kerana gagal menunjukkan prestasi diharapkan.

Dua pemain itu juga telah membuat penampilan bersama Sabah dalam perlawanan pertama pusingan kedua Liga Perdana bertemu Kuantan FA pada 24 Mei lalu.

Sabah kini berada di kedudukan kesembilan liga dengan 11 mata hasil daripada tiga kemenangan, dua seri dan lapan kekalahan, dengan perlawanan seterusnya ialah bertemu PDRM pada penghujung bulan ini di gelanggang lawan.