Jurulatih MISC-MIFA, K. Devan, kecewa misi pemburuan mata penuh ketika bertemu Sabah gagal dilaksanakan anak buahnya dalam aksi Liga Perdana, semalam.

Dalam usaha untuk mencapai kelompok tiga pasukan terbaik Liga Perdana, mata penuh menjadi syarat untuk MISC-MIFA mencapai hasrat itu.

Namun misi itu tampak tidak menyebelahi mereka sejak awal babak lagi apabila Sabah lebih mendominasi permainan.

Ditambah dengan jaringan awal daripada anak buah Jelius Ating itu pada minit ke-14, Devan sudah tidak senang duduk di bangku jurulatih di Stadium MBPJ, Petaling Jaya.

Mujur jaringan penyamaan menerusi B. Thinagaran menjadi penyelamat MISC-MIFA daripada kecundang di laman sendiri, namun itu tidak cukup untuk Devan menyembunyikan kekecewaannya.

"Daripada peluang yang dihasilkan pasukan, saya agak kecewa kami sekadar meraih satu mata," katanya.

Sementara itu, Jelius menyifatkan satu mata sudah cukup buat pasukanya daripada pulang dengan tangan kosong.

"Perkara yang paling penting adalah kami cuba menghadapi perlawanan demi perlawanan dan berpuas hati dengan mata diraih," katanya.