Pemain tengah Felda United, Daniel Amier Norhisham, tetap berpuas hati diberi peluang beraksi buat kali pertama musim ini ketika berdepan UiTM FC selepas hampir lima bulan berehat akibat kecederaan paha.

Walaupun hanya selama 25 minit, aksi itu merupakan kemunculan pertama Daniel atau lebih mesra disapa "Boy" musim ini selepas berehat panjang akibat kecederaan.

Bagaimanapun, aksi dalam babak kedua itu sudah cukup untuk memberi kepuasan kepadanya kerana ingin tahu sejauh mana tahap kecergasannya walaupun sudah pulih sepenuhnya.

Semestinya, banyak lagi aspek yang perlu diperbaiki di samping masih perlu berhati-hati bagi mengelak kecederaan sama berulang.

"Sebelum ini, walaupun melalui latihan seperti biasa, apa yang lebih penting dalam bola sepak adalah tahap kecergasan. Tentunya agak sukar untuk menyesuaikan diri selepas agak lama tidak beraksi.

"Bagaimanapun, selepas 15 minit di atas padang, saya mula menemui rentak," katanya.

Sasaran utama pemain berusia 21 tahun itu adalah untuk terus menambat hati pengendali, B. Sathianathan, untuk memberi kepercayaan kepadanya berada dalam kesebelasan utama dalam aksi seterusnya.

"Pihak Felda sendiri mengharapkan momentum kemenangan akan kembali ditemui kerana setelah tewas 3-0 di tangan MISC-MIFA, agak susah untuk kami bangkit semula.

"Alhamdulillah, kemenangan ini sangat bermakna untuk meneruskan penguasaan di tangga teratas liga," tambahnya.