Pengerusi Jawatankuasa Pengadil, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), ACP Md. Dali Wahid, menyangkal dakwaan ketua jurulatih UiTM FC, Ismail Zakaria, bahawa badan induk itu gagal menyediakan pengadil bertauliah dalam perlawanan Liga Perdana di antara pasukan itu dengan Selangor United, kelmarin.

Ismail mencetus kontroversi apabila membuat kritikan terbuka terhadap mutu pengadilan selepas pasukannya kecundang 1-2 di tangan Selangor United di Stadium UiTM Shah Alam.

Pengendali itu mendakwa pengadil, Muhammad Nasruddin Muhammad Tamrin, gagal melakukan keputusan tepat dalam beberapa insiden dan secara tidak langsung mempersoalkan keputusan FAM berhubung pemilihan pengadil itu.

Dali, bagaimanapun, menyelar tindakan bekas ketua jurulatih Sime Darby FC itu dengan menegaskan pihaknya sentiasa memantau prestasi pengadil dalam setiap perlawanan.

"Seperti yang telah saya katakan sebelum ini, saya sebagai pengerusi Jawatankuasa Pengadil, menyarankan agar mana-mana pegawai ataupun jurulatih yang berasa tidak puas hati terhadap mutu pengadilan supaya membuat laporan rasmi kepada FAM dan kami akan menjalankan siasatan," katanya.

Sebelum ini, FAM mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada jurulatih Selangor, B. Sathianathan, jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, dan penyerang import Pahang, Dickson Nwakaeme, kerana mengkritik pengadil dalam perlawanan Liga Super.

Ismail dijangka berdepan tindakan lebih berat kerana kelantangannya menyuarakan perkara berkenaan.

"Kami akan siasat secara terperinci dan sekiranya terdapat sebarang kesalahan yang dilakukan, kami akan menjalankan siasatan rapi.

"Kami akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap perkara tersebut," tambahnya.