Cikgu Wan Rahim presiden baru KAFA

Oleh Farizal Yusoff 6 Julai 2019 9344
Cikgu Wan Rahim presiden baru KAFA
Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, dipilih sebagai presiden baru Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bagi penggal 2019/2013 dalam kongres agung luar biasa (EGM) persatuan itu, hari ini.

Wan Abdul Rahim atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Wan Rahim mengalahkan ahli perniagaan, Datuk Seri Amril Aiman Abdul Aziz, dalam undian pusingan kedua dengan kiraan 28-16.

Sebelum itu, dalam kiraan pusingan pertama, Cikgu Wan Rahim memperoleh undi 25-20 tetapi belum boleh diisytiharkan sebagai pemenang kerana tidak mendapat majoriti 2/3 seperti yang termaktub dalam perlembagaan persatuan.

Sementara itu, Datuk Seri Afandi Hamzah mengekalkan jawatan timbalan presiden setelah mengalahkan lawannya, Mohammad Yusri Ismail, dengan kiraan 23-20, manakala, Datuk Seri Mohd Zumridi mendapat dua undi sahaja.

Bagi jawatan naib presiden, persatuan bolasepak jajahan (PBJ) sebulat suara memilih tiga calon, iaitu Datuk Rowi Dollah, Datuk Shaari Mat Hussain dan Prof. Dr. Zaliman Sauli.

Seramai 10 calon ahli jawatankuasa eksekutif (exco) turut dipilih dalam EGM kali ini, iaitu Zakaria Mat, Wan Rakemi Wan Zahari, Datuk Azman Ismail, Zahari Kechik, Ahmad Muzakir Hamid, Muhammad Nuzulhan Muhamad Zain, Dr. Hanafi Ismail, Zaki Mohd Zain, Mohd Asri Mohd Hussain dan Datuk Ir. Saamin Fahmi Hassan.

Untuk rekod, EGM KAFA diadakan selepas exco sebulat suara bersetuju menerima desakan daripada PBJ ekoran kemerosotan prestasi skuad The Red Warriors (TRW) dan peletakan jawatan bekas presiden, Bibi Ranjani Ilias Khan.

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen