Setiausaha Kehormat UKM FC, Mohd Fairus Shafie, mengakui kekurangan pengalaman dalam struktur pengurusan telah membawa kepada masalah kelewatan kelab itu menghantar dokumen pendaftaran.

UKM dan MISC-MIFA adalah dua pasukan Liga Perdana yang disenaraikan Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) menghantar dokumen pendaftaran melepasi tarikh yang ditetapkan pada 3 Februari lalu.

"Sebenarnya, kami sudah mengemukakan surat pembersihan daripada Perkeso, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta KWSP pada 22 Januari, cuma mungkin sebagai pasukan baru, kami terlepas pandang untuk menyiapkan satu surat rasmi," kata Fairus.

Kenyataan FMLLP semalam turut menyenaraikan empat pasukan Liga Perdana yang gagal melengkapkan dokumen pendaftaran, iaitu Macera-Kuantan FA, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pulau Pinang dan Sarawak.

Kelab bola sepak Macera United pada petang tadi mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kelewatan menghantar dokumen pendaftaran, dengan menyifatkan proses pengambilalihan Macera ke atas Kuantan FA yang belum selesai selain kurang kerjasama daripada kelab Pahang itu menjadi faktor masalah itu berlaku.