Penjaring hatrik Felcra FC ketika menewaskan Terengganu II dalam aksi Liga Perdana malam tadi, Anselmo Da Silva, enggan menerima pujian di atas kemenangan itu kerana berasakan rakan sepasukan lain turut memainkan peranan penting.

Bagi da Silva, tidak mungkin dia mampu meraih hatrik tanpa sokongan rakan sepasukannya yang turut berhempas-pulas memastikan kemenangan.

Da Silva, yang lebih sinonim dengan gelaran Casagrande dalam kalangan rakan sepasukan, turut memuji pemain tempatan.

Bekas pemain Kuala Lumpur itu mengakui aksi pertama pada Ramadan ini sukar buat pemain yang berpuasa, namun mereka tetap berupaya mengekalkan disiplin tinggi sepanjang perlawanan.

"Saya mungkin meraih hatrik malam ini tetapi pujian sebenarnya buat rakan sepasukan tempatan yang mempamerkan aksi luar biasa.

"Saya yakin jika kami mampu kekal konsisten dengan beraksi seperti ini, tiada sebab mengapa kami tidak boleh mara ke Liga Super musim depan," katanya.

Dalam masa sama, pengendali Felcra, Tarcisio Pugliese, menuntut pasukannya agar terus mengekalkan momentum kemenangan bagi mengesahkan laluan ke Liga Super lebih awal.

"Perkara paling penting lazimnya adalah aksi berikutnya.

"Memandangkan ini kali pertama Felcra beraksi dalam kancah Liga Perdana, objektif utama kami adalah untuk kekal.

"Kami berpeluang cerah untuk ke Liga Super. Kami juga ada memikirkan tentang Piala Malaysia dan jika kami dapat memberi saingan kepada pemain dalam divisyen utama, sudah tentu mereka bersemangat untuk melakukannya," ujarnya.