Pengendali Sabah, Jelius Ating, mahu anak buahnya membuang sikap 'lambat panas' sebaliknya memulakan perlawanan dengan lebih garang apabila turun menentang Sarawak dalam Liga Perdana di Stadium Negeri, Kuching, petang esok.

Walaupun memuji semangat melawan yang ditunjukkan pemainnya ketika bangkit membenam MISC-MIFA di Stadium Likas, Rabu lalu, jurulatih berusia 47 tahun itu menegaskan perkara itu bukan selalu boleh berlaku.

"Dalam perlawanan itu (bertemu MISC-MIFA), ada beberapa kelemahan yang kami kesan, terutama pada awal 25 minit perlawanan. Saya melihat pemain agak 'lambat panas' sehingga kami dibolosi dua kali.

"Sehubungan itu, saya harap pemain akan memulakan permainan baik mereka di awal perlawanan, kami tidak mahu seperti aksi bertemu MISC-MIFA berulang.

"Mungkin pada waktu itu kami dapat mengejar mereka, kami tidak tahu bagaimana sekiranya ia berulang dalam perlawanan lain," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini.

Jelius berkata beliau mahu anak buahnya terus fokus dan bekerja keras bagi mengekalkan rentak kemenangan mereka.

Dengan saingan liga hanya berbaki lima perlawanan bagi pasukan itu, beliau berharap mereka akan dapat mengatasi Sarawak bagi terus menghidupkan peluang untuk layak ke Piala Malaysia musim ini selain turut mengintai peluang beraksi dalam Liga Super, musim depan.

"Sasaran saya masih kekal, iaitu layak ke Piala Malaysia dan Liga Super, namun ini hanya akan menjadi kenyataan jika kami bekerja keras dan memenangi kesemua lima baki perlawanan yang ada.

"Ia bukanlah sesuatu yang mustahil (mencapai sasaran), apa yang penting pemain terus fokus dan meneruskan rentak kemenangan seperti mana yang dicapai dalam dua aksi lalu," katanya.

Sementara itu, Jelius berkata dua tonggaknya, Maffry Balang dan Jenius Karib, masih belum dapat diturunkan kerana kecederaan, namun mereka mendapat semula khidmat Maxsius Musa yang telah selesai menjalani penggantungan perlawanan.

Jelius dijangka mengekalkan Rozaimie Rohim selaku penjaga gol utama dengan dibantu empat pertahanan, iaitu ketua pasukan, Rawilson Batuil, Francis Kasonde, Randy Baruh dan Dendy Lowa.

Pemain dari Jepun, Keisuke Ogawa, pula akan terus mengemudi bahagian tengah dengan dibantu Mohd Azzizan Nordin, Sabri Sahar, dan Maxsius manakala Hector Omar Ramos serta Rodoljub Paunovic akan terus menggalas tugas selaku pemburu jaringan buat Sabah.