TERENGGANU FC II 1 NEGERI SEMBILAN 0

Jaringan minit pertama Bruno Suzuki memadai untuk Terengganu FC (TFC) II mengatasi Negeri Sembilan 1-0 dalam aksi Liga Perdana di Kuala Terengganu, sebentar tadi.


Pemain kelahiran Brazil itu menghukum kesilapan penjaga gol, Mohd Fadzley Abdul Rahim, dengan lambungan dari luar kotak penalti yang juga gol tunggal perlawanan.

TFC II kemudian berpeluang menjarakkan kedudukan yang menyaksikan tandukan Serhii Andrieiev pada minit ke-20 gagal menepati sasaran.

Empat minit selepas itu, hantaran Mohd Ridzuan Razali ditolak kemas Muhamad Firas Tarmizi dari jarak dekat namun dinafikan Fadzley.

Negeri Sembilan yang cuba mengimbangi permainan hanya berhasil melakukan sepakan jarak jauh menerusi Jose Almir Neto (m-31) yang jauh tersasar daripada pintu gol TFC II.

Hasrat TFC II menamatkan babak pertama dengan tambahan gol gagal apabila percubaan menarik Andrieiev ditepis Fadzley pada minit ke-44.

Kem pelawat bimbingan Mat Zan Mat Aris itu hampir menyamakan kedudukan, malangnya sepakan percuma Shansuke Nakatake pada minit ke-51 diselamatkan Mohd Sharmiza Yusoff.

Negeri Sembilan terus mengawal rentak dan gerakan solo Almir pada minit ke-73 berjaya melepasi pertahanan lawan tetapi penyudahnya gagal mencemaskan Sharmiza.

Penguasaan yang dipamerkan pelawat dalam babak kedua gagal diterjemahkan kepada jaringan gol sehinggalah pengadil, Muhammad Khairulsyahmi Ahmad Khalidi, meniupkan wisel penamat.

Keputusan lain:

SARAWAK 0 PDRM 1

UKM 0 UiTM 5