Penyerang veteran, Bobby Gonzales, berasakan kariernya seperti 'mati hidup semula' sejak menyertai Sarawak apabila menjaringkan 10 gol dalam 14 penampilan dan menjadi penjaring tempatan terbanyak dalam Liga Perdana.

Pemain berasal dari Sabah itu pernah diangkat selaku penyerang tempatan terbaik satu ketika dahulu selain menyarung jersi Harimau Malaya sekitar 2013 dan 2014.

Namun, kariernya mengalami kemerosotan apabila bersama Perak 2015 dan Felda United setahun selepas itu apabila jarang diturunkan.

Turut gagal mencipta impak di PKNS pada tahun lalu, Bobby yang pernah bersama Sarawak pada 2013 kini menjadi harapan utama skuad Bujang Senang.

"Apabila datang ke sini, saya diberi peluang untuk bermain. Apabila diberi peluang, saya dapat menjaringkan gol.

"Walaupun saya juga bermain dalam skuad sebelum ini, lebih banyak jaringan dapat dilakukan di sini (Sarawak) kerana minit bermain lebih banyak. Setiap perlawanan ke perlawanan, saya akan bermain," katanya.

Bobby, yang ditemui selepas aksi bertemu MISC-MIFA pada 9 Jun lalu, menjelaskan salah satu gol yang dijaringkan dalam perlawanan itu cukup unik dalam kariernya.

Tidak tahu bagaimana ia mampu terhasil, Bobby bersyukur satu mata daripada perlawanan itu melalui keputusan seri 2-2 menyemarakkan kembali api perjuangan Sarawak dalam Liga Perdana.

Ketika jaringan itu terhasil, dia kelihatan sedang terjatuh di depan gol, namun kakinya tersentuh untuk menghantar bola masuk ke gawang.

"Saya pun tidak tahu. Saya tidak tahu bagaimana bola boleh masuk. Saya hilang kestabilan ketika itu tetapi apa-apa pun syukur dapat satu mata.

"Ia menunjukkan kerja keras kami dalam perlawanan itu walaupun bermain kurang seorang pemain."