Drama tuntutan tunggakan gaji bekas kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi (Piya), dengan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) semakin panas apabila kedua-dua pihak enggan mengalah dan menyalahkan satu sama lain.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan, bertegas dengan keputusannya sambil mendakwa Piya gagal mengemukakan dokumen lengkap kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) untuk menyokong segala tuntutannya.

"Kami dimaklumkan melalui FAM dan PFAM, dokumen yang dihantar Piya tidak lengkap dan ditolak oleh kedua-dua badan berkenaan.

"Bagi pihak KAFA, kami mahu melalui saluran yang betul dan sekiranya dia (Piya) mempunyai masa terluang, dia boleh datang berjumpa kami untuk berbincang.

"Ia kerana setiap kali kami memanggilnya, dia tidak dapat hadir.

"Sebelum ini, kami juga pernah menjemputnya kembali menyertai pasukan, namun dia mendedahkan sudah tawar hati dengan Kelantan," katanya.

Bibi Ramjani juga meminta Piya supaya bertolak-ansur dan tidak terlalu berkeras untuk menuntut jumlah yang tinggi.

"Kontrak yang ditandatangani adalah persetujuan bersama.

"Dia tidak perlu terlalu berkeras kerana sudah mengetahui tahap kewangan KAFA.

"Memadailah untuk menuntut apa yang kami mampu bayar," tambahnya.