Akur dengan desakan semua pihak, Bibi Ramjani Ilias Khan mengumumkan secara rasmi peletakan jawatannya sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berkuatkuasa serta-merta.

Bibi Ramjani dalam hantaran terbaharu laman sosial Facebook peribadi hari ini, mengucapkan selamat maju jaya kepada KAFA yang bakal dipimpin pengurusan baharu.

"Saya, Hajah Bibi Ramjani Ilias Khan, selaku Presiden KAFA dengan ini melepaskan jawatan saya," katanya.

"Semoga KAFA maju jaya di bawah di bawah pengurusan baharu."

Bibi Ramjani melakar sejarah baharu dalam arena bola sepak negara apabila dipilih sebagai presiden KAFA bagi penggal 2018 hingga 2021 pada 17 September 2017.

Dalam pemilihan sempena Kongres Tahunan KAFA Ke-63 itu, beliau menewaskan seorang lagi calon yang juga bekas naib presiden, Datuk Mohamad Nasir Hamzah.

Dalam hantaran terbarunya hari ini, Bibi Ramjani juga berterima kasih kepada semua penyokong yang tidak pernah berhenti memberi sokongan padu sepanjang beliau mengetuai KAFA.

"Terima kasih kepada semua penyokong yang tidak pernah putus untuk menyokong Kelantan FA.

"Mohon maaf daripada saya kepada semua sepanjang saya memimpin KAFA," tambahnya.

Terdahulu, Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) mahu mengemukakan undi tidak percaya terhadap Bibi Ramjani supaya meletak jawatan bagi memberi laluan kepada Kongres Luar Biasa (EGM) KAFA untuk memilih presiden baharu.