Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan, mengambil pendekatan berdiam diri berhubung isu desakan ahli gabungan yang mahu beliau berundur secara terhormat daripada menerajui persatuan itu.

Bibi Ramjani berkata beliau tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan buat masa ini dan lebih selesa mengambil pendekatan mendiamkan diri berhubung isu itu.

“Maaf, dengan hormatnya biarlah lebih baik saya diamkan diri. Apabila tiba masanya nanti, barulah saya akan jawab (desakan letak jawatan)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hari ini, akhbar melaporkan Yang Dipertua Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ) Tanah Merah, Kamarudin Mohamad, memberi kata dua kepada presiden KAFA itu untuk berundur secara terhormat atau berhadapan undi tidak percaya dalam Kongres Luar Biasa (EGM), Jun depan.

Bibi Ramjani berkata beliau mahu memberikan peluang dan ruang kepada mana-mana (individu) untuk keluar kenyataan melalui media terlebih dahulu.

"Apa yang lebih penting, bagi saya, ialah menumpukan kepada pasukan yang kini berusaha sedaya mampu untuk kekal dalam Liga Perdana," katanya.

Di bawah kepimpinan Bibi Ramjani, Kelantan mengalami pelbagai isu, antaranya kegagalan membayar gaji dan terbaru, pemotongan mata sehingga menyaksikan skuad yang terkenal dengan jolokan The Red Warriors (TRW) itu terperosok di tangga terbawah Liga Perdana.

Sebelum ini, usahawan wanita itu dipilih sebagai presiden bagi penggal 2018-2021 dalam Kongres Tahunan KAFA Ke-63 bagi menggantikan Tan Sri Annuar Musa yang meletakkan jawatan selepas menerajui persatuan itu selama lapan tahun.

-- BERNAMA