Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal, berpendapat jawatan presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) perlu dipegang oleh individu yang bukan sahaja berkelayakan, malah mempunyai masa yang cukup untuk memberi tumpuan terhadap kemajuan bola sepak negeri.

"Bagi pandangan saya, elok rasanya jawatan itu diberikan kepada orang yang lebih mahir dan berkeupayaan selain dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada SAFA. Bukan hanya orang yang mempunyai pandangan (visi), tetapi masa yang cukup," katanya ketika ditemui di Kota Kinabalu, hari ini.

Kenyataan itu sekali gus membayangkan Shafie mungkin tidak mahu memegang jawatan sebagai presiden SAFA walaupun sebelum ini beliau diminta oleh pelbagai pihak bagi mempertimbangkan untuk menerajui persatuan berkenaan.

Antara faktor beliau membayangkan enggan memegang jawatan panas itu mungkin disebabkan kesibukan beliau mentadbir negeri Sabah.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata beliau akan bertemu dengan pengurusan SAFA untuk memberi panduan bagaimana memastikan supaya industri sukan bola sepak dapat dimajukan serta dibangunkan oleh individu yang mempunyai komitmen serta idea baharu.

"Bola sepak di Sabah ini menjadi sukan pilihan semua lapisan masyarakat. Ia bukan hanya pilihan orang muda, malah orang berusia seperti saya juga gemarkan sukan ini," katanya.

Sebelum ini, pengurus skuad Liga Perdana Sabah, Datuk Juil Nuatim, berharap Mohd Shafie mempertimbangkan tawaran untuk menerajui SAFA selepas bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, meletakkan jawatan sebagai presiden susulan peralihan kuasa kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Juil dilaporkan berkata seorang pemimpin yang berkemampuan seperti Mohd Shafie sangat diperlukan oleh SAFA ketika ini, bukan saja demi bola sepak negeri, malah untuk rakyat Sabah.

Tugas presiden SAFA kini dipangku Naib Presiden, Datuk Yusof Kassim, sehinggalah badan induk bola sepak Sabah itu mengadakan kongres yang dijadualkan pada 11 Ogos ini.

Antara agenda utama kongres itu nanti ialah mengisi jawatan presiden, dua timbalan presiden dan satu naib presiden.