Pemain import UiTM FC, Adi Said, percaya pengalaman bermain dalam Liga Singapura sebelum ini dapat membantu pasukan barunya untuk menghadapi kempen Liga Perdana musim 2019.

Adi, yang merupakan pemain antarabangsa Brunei Darussalam, mengharungi musim yang cemerlang dalam Liga Singapura.

Bersama pasukan DPMM FC, dia mencetak 11 gol untuk mrmbantu mereka menduduki tempat ketiga liga.

Dia kemudian mendapat jemputan untuk sesi ujian bersama UiTM dan ternyata tuah menyebelahinya untuk beraksi dalam Liga Malaysia pula.

Walaupun mengakui masih dalam peringkat menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan, Adi tetap yakin dengan kemampuan dirinya untuk menyerlah bersama UiTM.

"Saya memiliki sasaran untuk beraksi di luar negara dan bersama UiTM akan memberikan pengalaman baru buat saya dengan saingan bola sepak di Malaysia lebih baik," katanya.

Sementara itu, Adi berharap sentuhan yang dipamerkan dalam Liga Singapura dapat diteruskan bersama UiTM yang mendapat pengendali baru, Ismail Zakaria.

Pemain berusia 28 tahun itu juga berharap lebih ramai lagi pemain dari negara kelahirannya beraksi dalam liga luar.

"Saya mahu bermain di Malaysia untuk membuka mata setiap pemain Brunei untuk mencuba meraih pengalaman beraksi di sini," ujarnya.