Ketua jurulatih Kelantan United (KUFC), Zahasmi Ismail, mengakui banyak aspek perlu diperbaiki oleh pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Perdana musim depan.

Zahasmi berkata ini kerana beraksi dalam Liga Perdana akan memberikan suasana berbeza kepada pasukan itu berbanding beraksi dalam Liga M3 musim ini.

"Banyak lagi perkara yang perlu difikirkan kerana Liga Perdana sudah tentu lebih mencabar yang memerlukan kami bekerja keras dan melakukan banyak analisis.

"Begitu juga dengan pemain import perlu ditambah berikutan sekarang ini pasukan hanya mempunyai dua pemain import berbanding beraksi dalam Liga Perdana, pasukan memerlukan empat pemain import," katanya ketika ditemui di Kota Bharu hari ini.

Dalam perlawanan terakhir Liga M3 Selasa lalu, KUFC mengesahkan kejuaraan liga itu apabila terikat 2-2 dengan Armed Forces FC di Stadium KLFA, Cheras.

Keputusan itu menyaksikan Kelantan United FC mengumpul 66 mata selepas 26 perlawanan dan tidak mampu dicabar lagi oleh Kuching FA yang berada di kedudukan kedua biarpun saingan berbaki dua perlawanan.

Zahasmi berkata bagi membentuk pasukan, khususnya pemain, ia turut bergantung kepada kemampuan pengurusan pasukan.

"Kami akan lihat dahulu, jika perlu menambah pemain, maka kami akan tambah dan bergantung kepada keperluan pasukan untuk menghadapi Liga Perdana musim depan.

"Saya yakin dengan pemain yang ada bersama pasukan ketika ini untuk memberikan saingan kerana musim ini rata-rata pemain pernah bermain untuk saingan Liga Super dan Liga Perdana sebelum ini seperti Mohd Badhri Radzi, Mohd Shahrizan Ismail dan Daudsu Jamaluddin," katanya.

Katanya, kehadiran pasukan KUFC memberikan suasana baru kepada bola sepak Kelantan.

"Saya fikir dua pasukan KUFC dan The Red Warriors (TRW) mampu menjadi pasukan terbaik dalam saingan Liga Perdana ," katanya.

TRW dan KUFC akan mewakili Kelantan dalam saingan Liga Perdana musim depan.

-- BERNAMA