Walaupun semakin dimamah usia, penyerang UiTM FC, Dao Bakary, membuktikan dia masih antara penyerang import yang konsisten dalam kancah Liga Perdana apabila menjadi watak penting di sebalik kejayaan pasukannya menewaskan Sarawak 3-2, kelmarin.

Bakary menyertai UiTM hanya sehari sebelum Liga Perdana bermula atas pengalaman luasnya yang pernah beraksi dalam saingan ini bersama PDRM, Kuantan FA dan Perlis.

Rekod jaringannya sebanyak 15 gol musim lalu bersama PDRM dilihat masih mampu diteruskan dengan gol keempatnya bersama UiTM FC yang jadi pemisah pasukannya dengan Sarawak.

"Sebagai penyerang dan pemain import, saya perlu menjaringkan gol dan cuba membantu pasukan saya meraih kemenangan," katanya.

Bakary turut menyifatkan Liga Malaysia umpama memberikan tuah tersendiri kepadanya kerana di mana sahaja pasukan yang disertai, rekod jaringannya sentiasa berada pada tahap membanggakan.

Kini dia berharap mampu mengakhiri musim ini dengan nota menggembirakan, iaitu membawa UiTM FC mencipta sejarah memburu slot Liga Super pada 2019.

"Kami sangat gembira (dengan kemenangan ini) selepas tewas dalam dua perlawanan. Kemenangan ini sangat bermakna dan kami berharap untuk meneruskan momentum ini," katanya.

Imej: Asiana