Bekas ketua pasukan Kelantan, Muhammad Badhri Radzi, menolak akan kembali ke pangkuan pasukan itu selagi hutang lamanya masih belum diselesaikan biarpun kini bekas majikannya itu mendapat sentuhan pengurusan baru di bawah Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn Bhd.

Badhri atau mesra disapa Piya menolak spekulasi bahawa dia akan kembali semula beraksi dengan negeri kelahirannya memandangkan masalah yang dihadapi dengan Perlis.

Ini kerana dia masih menanti tunggakan gajinya yang belum diselesaikan dan kali terakhir dia menerima bayaran adalah pada April 2018.

Lebih mengejutkan, namanya tidak berada dalam senarai tuntutan dalam kenyataan media yang dikeluarkan Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam yang menuntut enam majikan berbeza agar melangsaikan hutang dengan pemain dan pegawai masing-masing.

"Kalau boleh percepatkanlah urusan supaya saya lebih memahami mengenai keadaan semasa dengan lebih lanjut.

"Pemain-pemain lain juga ada bertanyakan saya mengenai situasi sama yang dihadapi mereka, saya cuma boleh katakan mungkin beberapa hari lagi (tunggakan gaji akan dibayar)," katanya.

KRW Sdn Bhd merupakan konsortium yang diberikan mandat oleh Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) untuk membuat penjenamaan semula sebagai badan swasta dalam menguruskan pentadbiran pasukan Liga Super, Piala Presiden dan Piala Belia Kelantan.

"Apabila saya balik ke Kelantan (kampung), orang anggap saya akan kembali beraksi untuk Kelantan.

"Sedangkan saya tidak menerima apa-apa (bayaran) lagi, mungkin itu hanya anggapan orang semata-mata.

"Saya masih menunggu pelawaan daripada KRW untuk membincangkan urusan gaji tahun lepas yang tertunggak," katanya lagi.