Ketua jurulatih PDRM FA, Zulhamizan Zakaria, menganggap hanya kesilapan kecil di benteng pertahanan menafikan hasrat pasukannya untuk meraih tiga mata Liga Perdana ketika berdepan UKM FC selepas seri 2-2, malam tadi.

Peluang banyak terhidang buat PDRM untuk membenam UKM FC, sebaliknya kealpaan di benteng memberi ruang kepada lawan untuk menyamakan kedudukan 2-2.

Meskipun konsisten meraih tiga mata dalam dua perlawanan terdahulu, Zulhamizan tidak menganggap anak buahnya berasa selesa dengan kedudukan ketika ini tetapi hanya sedikit kelekaan di padang membawa padah untuk mereka sekadar membawa pulang satu mata.

"Saya akan perbetulkan barisan pertahanan kerana nampak alpa akibat terlalu seronok melancarkan asakan.

"Pemain tengah kami tidak teratur lalu kami dihukum.

"Saya akan menumpukan perhatian kepada latihan menyudahkan peluang," kata Zulhamizan.

Jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin, sememangnya menginginkan barisan pemainnya segera bangkit agar tidak hanya selesa dengan satu mata.

Tiga mata perlu diraih dalam aksi seterusnya selepas kempunan dalam lima perlawanan setakat ini.

"Kami perlu mula meraih tiga mata.

"Pemain saya sudah mula matang dalam penampilan pertama kami (dalam Liga Perdana) musim ini.

"Sebenarnya, sejak pusingan kedua ini, kami berjaya mengelak dua kekalahan berturut-turut.

"Insya-Allah, dalam perlawanan berikutnya, kami menyasarkan tiga mata," ujar Sulaiman.