Pertahanan import PKNS FC, Zachary Anderson, mengakui teruja dengan sambutan hari raya dan selepas dua musim di Malaysia, dia kini turut memahami betapa penting sambutan Aidilfitri buat rakan sepasukannya yang beragama Islam.

Kali pertama Anderson menikmati sambutan Aidilfitri ialah ketika bersama Kedah musim lalu.

Anderson menyedari sambutan Aidilfitri di Kedah sedikit berbeza dengan di Lembah Klang.

Namun, dia tetap mahu berasa sendiri sambutan raya di sini.

"Seronok dan berbeza di Alor Setar (Kedah).

"Ramai yang pulang ke kampung dan Kuala Lumpur lengang.

"Begitupun, saya tumpang gembira melihat rakan-rakan pulang beraya dan ia detik istimewa buat mereka.

"Ia seperti sambutan perayaan Krismas buat saya," kata pemain dari Australia itu.

Bekas tonggak Sydney FC dalam Liga Australia itu mengakui Semut Merah mengharungi tempoh sukar ketika beraksi pada Ramadan lalu.

Namun, Anderson memuji sikap profesional pemain dalam mengharunginya dalam memastikan PKNS tetap mampu bersaing dengan pasukan lain.

"Ia sukar dan barisan pemain telah melaksanakan yang terbaik.

"Mereka tidak merungut dan mereka hadir dan bekerja keras dalam setiap sesi latihan.

"Mereka 100 peratus dan semua pasukan turut melakukannya, bukan kami sahaja," katanya.