Drama pergolakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) semakin menuju penghujungnya apabila Datuk Seri Amril Aiman Ab Aziz menyahut saranan presiden, Bibi Ramjani Ilias Khan, untuk bertemu dan berbincang dengan Datuk Seri Afandi Hamzah dalam masa terdekat.

Menurut Amril, beliau yang menawarkan diri sebagai presiden baru yakin pertemuan dengan Timbalan Presiden KAFA itu mampu menyelesaikan sebarang konflik yang akan berlaku.

"Jadi, saya harap semua pihak faham bahawa tiada sengketa antara saya dengan presiden (Bibi Ramjani). Kami berkawan baik (seperti biasa) cuma apabila bercakap tentang KAFA, tindakan ini perlu diambil bagi selamatkan bola sepak Kelantan," kata Amril.

"Insya-Allah, dalam masa terdekat, saya akan jumpa dengan timbalan presiden (Afandi Hamzah) untuk proses perbincangan lanjut sebelum peralihan jawatan presiden itu berlaku.

"Saya yakin dan pasti segalanya ada di tangan beliau kerana sejak akhir-akhir ini, presiden banyak menyerahkan urusan KAFA kepadanya."

Amril yang pernah menjadi pengurus skuad Piala Belia Kelantan musim 2017 berterima kasih kepada Bibi Ramjani yang dianggapnya memiliki jiwa besar dengan sedia melepaskan kerusi panas itu demi pembangunan bola sepak Kelantan.

"Namun, seperti yang diberitahu tadi, peralihan kuasa tidak boleh berlaku sehari dua, ia mengambil masa satu atau dua bulan," tambah Amril.

"Saya jangkakan peralihan kuasa ini akan berlaku selepas Hari Raya Aidilfitri nanti."

Amril yang juga seorang ahli perniagaan berkata keputusan beliau dan pasukannya untuk mengambil alih KAFA diharap memberi nafas baru terhadap prestasi The Red Warriors (TRW) yang terumbang-ambing dalam saingan Liga Perdana musim ini.

"Kepada presiden (Bibi Ramjani), terima kasih kerana telah banyak berkorban untuk bola sepak Kelantan dan sekarang biarlah Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) bersuara demi kebaikan bersama.

"Saya juga berharap, kenyataan ini dapat kembalikan semula semangat dan aura TRW supaya terus kekal bersaing dalam Liga Perdana di sebalik pemotongan tiga mata dan sekatan pendaftaran pemain import," ujarnya.