Bekas Penolong Bendahari Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Datuk Seri Amril Aiman Abdul Aziz, mahukan presiden, Bibi Ramjani Ilias Khan, meletak jawatan dengan kadar segera sebelum sebarang pelan pemulihan boleh dilakukan.

Menurutnya, beliau yang menawarkan diri untuk menggantikan presiden KAFA itu memberikan jaminan akan bertanggungjawab sepenuhnya bagi menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda bola sepak Kelantan selepas proses peralihan kuasa dilaksanakan dalam persatuan itu.

"Saya menyatakan hasrat secara terbuka bahawa pasukan saya bersedia untuk mengambil alih pentadbiran KAFA sekiranya beliau (Bibi Ramjani) melepaskan jawatan secara rasmi.

"Namun, respons segera daripada Bibi Ramjani yang mahukan saya menunjukkan penyata kewangan peribadi kepadanya tidak masuk akal dan cukup mengecewakan.

"Tidak ada dalam perlembagaan KAFA, mana-mana individu yang ingin mengambil alih kepimpinan persatuan itu perlu menunjukkan bukti penyata kewangan kepada presiden," katanya.

Amril Aiman, yang pernah menjadi pengurus skuad Piala Belia Kelantan musim 2017, membidas sikap Bibi Ramjani yang seolah-olah memperlekehkan keupayaannya.

"Kenyataan beliau (mahu tengok penyata kewangan) seolah-olah menidakkan keupayaan dan kemampuan saya dalam membantu KAFA keluar daripada krisis kewangan yang dihadapi masa kini.

"Bagi saya, penyata kewangan individu adalah sulit dan menjadi hak (rahsia) peribadi seseorang.

"Sepatutnya, kesediaan saya bertemu dengannya (Bibi Ramjani) dan membuat kenyataan terbuka dilihat sebagai kekuatan untuk proses mengambil alih kepimpinan KAFA.

"Seterusnya, apa yang berlaku selepas ini, menjadi tanggungjawab sepenuhnya kepada saya. Jadi, dia tidak perlu memikirkannya. Apa yang penting, turun (letak jawatan) dan saya akan mengambil alih," tambahnya.

Amril Aiman, yang juga seorang ahli perniagaan, berkata beliau mempunyai dana yang mencukupi bagi memastikan Kelantan terus bersaing dalam Liga Perdana musim ini.

“Tajaan yang bakal masuk untuk menghabiskan musim ini ialah sekitar RM7 juta hingga RM8 juta.

"Insya-Allah, musim depan jumlahnya akan bertambah sekitar RM15 juta hingga RM20 juta, termasuk bagi pembangunan bola sepak negeri serta infrastruktur di peringkat akar umbi," katanya lagi.