Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ) tidak akan memilih ahli perniagaan, Datuk Seri Amril Aiman Abd Aziz, sebagai calon presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sekiranya presiden KAFA ketika ini, Bibi Ramjani Ilias Khan, melepaskan jawatan terbabit.

Yang Dipertua PBJ Tanah Merah, Kamarudin Mohamad, berkata walaupun ahli perniagaan terbabit mempunyai hasrat untuk menjadi presiden, namun Amril Amin belum berjumpa dengan barisan PBJ untuk berbincang.

"Dia bukan calon daripada PBJ, dia hanya menawarkan diri untuk menggantikan Bibi Ramjani, kami ahli gabungan KAFA tidak akan melantik dia sebagai calon presiden.

"Kami sudah mempunyai calon sesuai, perbincangan dengan individu itu sudah berlansung dan dia menunjukkan respons positif untuk terlibat dalam memulihkan imej bola sepak Kelantan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sebelum ini, ahli perniagaan itu menawarkan diri untuk mengambil alih tampuk kepimpinan KAFA daripada presiden sekarang, Bibi Ramjani.

Tambah Kamarudin, beliau yakin individu terbabit yang akan diangkat oleh PBJ mampu mengembalikan semula reputasi pasukan Kelantan seperti sebelum ini.

"Individu itu mempunyai pengalaman dalam bidang pengurusan sukan sebelum ini walaupun bukan sukan bola sepak.

"Kesemua PBJ sudah bersedia dan surat akan kami hantar kepada KAFA seminggu selepas raya -- tujuh PBJ yang mendesak Bibi Ramjani supaya meletakkan jawatan -- dengan menyerahkan surat terbabit secara serentak di pejabat KAFA," katanya.

Di bawah kepimpinan Bibi Ramjani, Kelantan tidak menunjukkan banyak kejayaan, sebaliknya dilanda pelbagai isu, terutama tunggakan gaji, sehingga pasukan itu terpaksa turun daripada Liga Super dan bermain dalam Liga Perdana musim ini.

Bibi Ramjani menerima desakan hebat daripada PBJ, kelab penyokong dan bekas pemain untuk melepaskan jawatan itu berikutan Kelantan berada di kedudukan tercorot saingan liga musim ini.

-- BERNAMA