Pemain berpengalaman, Alto Linus, terus diberi kepercayaan untuk beraksi sebagai kesebelasan utama Sabah apabila pasukan itu melayan kunjungan Negeri Sembilan dalam aksi Liga Perdana, di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam esok.

Pemain berusia 32 tahun itu diberi peluang bermain oleh pengendali skuad Tambadau, Jelius Ating, dalam beberapa perlawanan sebelum ini bagi menggantikan Maxsius Musa yang mengalami kecederaan.

Walaupun lebih sering memanaskan bangku simpanan, pemain berasal dari Keningau itu jelas mengambil peluang yang diberikan dengan baik apabila memperagakan aksi bertenaga, sekali gus membantu pasukannya mencatat keputusan baik.

"Ya, memang saya akui sejak Alto diberi peluang beraksi apabila Maxsius mengalami kecederaan, dia beraksi dengan baik dan konsisten," kata Jelius.

"Saya harap prestasinya akan berterusan dalam aksi-aksi akan datang, terutama di kala kami hanya memiliki baki tujuh perlawanan lagi untuk diharungi."

Sementara itu, pengendali itu juga menjelaskan keadaan Maxsius kini semakin pulih dan telah mula menyertai sesi latihan pasukan.

Bagaimanapun, pemain itu mungkin akan direhatkan lagi dalam aksi bertemu Negeri Sembilan, esok, kerana belum cergas sepenuhnya.

"Untuk aksi esok, Maxsius mungkin tidak disenaraikan tetapi dalam aksi-aksi akan datang, kami akan cuba memberinya peluang beraksi sebagai pemain simpanan bagi mengembalikan sentuhan sebenarnya selepas lama berehat," tambah Jelius.

"Maxsius dan Alto kedua-duanya pemain yang bagus. Ya, sudah tentu mereka terpaksa bersaing untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama di masa akan datang, namun bagi saya, hanya pemain yang cukup bersedia akan diturunkan."

Dalam masa sama, Jelius berkata dia akan mengekalkan kesebelasan utamanya sebelum ini kecuali merehatkan Randy Baruh yang mengalami sakit perut.

"Randy tidak menyertai latihan sejak beberapa hari lalu kerana mengadu sakit perut dan besar kemungkinan tempatnya akan diganti oleh Dendy Lowa."

Dalam perlawanan esok, skuad Tambadau dijangka mengekalkan Rozaimie Rohim sebagai penjaga gol utama dengan dibantu empat pertahanan, iaitu ketua pasukan, Rawilson Batuil, Park Taesu, Evan Wensley Wenceslaus serta Dendy.

Bahagian tengah pula akan terus dikemudi Ahmet Atayev dan Mohd Azzizan Nordin dengan dibantu Jenius Karib serta Alto.

Dua penyerang import, Rodoljub Paunovic dan Aguinaldo Mendes Veiga, pula dijangka kekal sebagai pemburu jaringan buat Sabah.