Pertemuan Kelantan dan Perlis dalam saingan Liga Perdana yang dijadualkan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV malam esok dibatalkan susulan penyingkiran pasukan Singa Utara itu daripada Liga Malaysia semalam.

Unit Media Kelantan Red Warriors (KRW) dalam satu kenyataan berkata Kelantan tetap meneruskan latihan seperti biasa minggu ini bagi mempersiapkan pasukan menghadapi perlawanan seterusnya.

"Selepas ini Kelantan akan menentang pasukan Johor Darul Ta'zim II (JDTII) pada 2 Mac di Stadium Pasir Gudang, Johor Bahru. Sebarang perubahan akan dipatuhi dan kami akan mengikut arahan badan pentadbir Liga Malaysia, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), dari semasa ke semasa," menurut kenyataan itu.

Semalam, MFL menerusi Ahli Lembaga Pengarahnya sebulat suara memutuskan untuk membatalkan penyertaan Perlis dalam Liga Malaysia 2019 berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, dalam satu kenyataan dilaporkan sebagai berkata keputusan itu dicapai setelah mereka mereka meneliti secara terperinci dokumen kewangan yang diserahkan oleh Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Isnin lalu.

-- BERNAMA