Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mampu menarik nafas lega apabila permohonan mendapatkan lesen untuk beraksi dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim ini diluluskan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman, berkata pihaknya bersyukur dengan keputusan MFL itu sambil berharap mampu melonjakkan lagi semangat pihak pengurusan untuk terus bekerja keras dalam mempersiapkan pasukan mengharungi saingan sengit Liga Perdana bermula hujung bulan depan.

“Biarpun kelulusan diberi secara bersyarat, namun ia sudah cukup menggembirakan kami.

“Alhamdulillah KAFA berjaya memenuhi lima daripada enam syarat pelesenan yang telah ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC),” katanya kepada media hari ini.

Husin menambah aspek kewangan sahaja menjadi faktor tunggal yang gagal dipenuhi persatuan itu sambil berjanji akan terus berusaha sebaik mungkin bagi memenuhi kriteria tersebut.

“KAFA mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu kami dalam memenuhi aspek pelesenan bagi musim 2020,” tambahnya.

Untuk rekod, FAM telah menghantar Pengurus Bahagian Pelesenan Kelab FAM, Andrew Soorian dan Hussainu Hussin, ke Wisma KAFA, Kota Bharu, minggu lalu bagi memastikan segala peraturan untuk mendapatkan lesen dipenuhi.

Kredit Foto: Kelantan FA



Editor Shaiful Shamsudin