Sabah berharap dua pemain import baru pasukan itu akan memberi sumbangan lebih besar dengan memperagakan aksi lebih mantap apabila melayan kunjungan Negeri Sembilan dalam saingan Liga Perdana di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabtu ini.

"Saya mengharapkan persembahan lebih mantap, terutama selepas kami melakukan sedikit perubahan dengan membawa masuk dua pemain import baru, iaitu pemain tengah dari Turkmenistan, Ahmet Atayev, dan penyerang dari Angola, Aguinaldo Mendes Veiga.

"Mereka beraksi dua perlawanan di tempat lawan sebelum ini dan telah membantu pasukan mengekalkan rekod tanpa kalah.

"Namun, saya mengharapkan sumbangan lebih besar dalam aksi pertama mereka di hadapan penyokong sendiri," kata pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, di Kota Kinabalu, hari ini.

Beliau percaya sumbangan lebih besar daripada kedua-dua pemain berkenaan akan meningkatkan kualiti pemain lain, seterusnya memantapkan lagi pasukan.

Membawa masuk dua pemain import itu bulan lalu adalah antara usaha terkini SAFA di bawah kepimpinan Peter bagi memenuhi impian skuad Tambadau naik ke Liga Super musim depan.

"Seperti yang saya katakan, sebaik diamanahkan menerajui persatuan (SAFA) penghujung tahun lalu, saya akan cuba yang terbaik walaupun dengan tindakan tidak popular demi mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri ini," katanya.