Bintang Crystal Palace, Wilfried Zaha, memberi bayangan bahawa dia mahu meninggalkan kelab itu kerana penyerang berkenaan mengidamkan aksi Liga Juara-Juara (UCL).

Bakat Zaha digilap melalui akademi Palace di mana dia telah menghabiskan kebanyakan kerjaya profesionalnya di situ selain sempat berkhidmat di Manchester United dan dipinjamkan ke Cardiff City.

Pemain berusia 26 tahun itu mempunyai kontrak di Selhurst Park sehingga 2023 dan menikmati musim yang memberangsangkan dengan menjaringkan lapan gol serta menghasilkan tiga bantuan gol dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Zaha seolah-olah bersedia untuk membuat satu lagi perpindahan besar sungguhpun pernah gagal di United apabila hanya sempat membuat empat penampilan.

"Saya bercita-cita tinggi dan tidak sekadar bercita-cita untuk mewakili kelab utama, bahkan memenangi gelaran di kelab dan bersama Ivory Coast," katanya kepada Daily Mail.

"Bagi saya, untuk menjadi pemain yang lebih baik dan mencapai potensi sebenar, saya harus berusaha untuk bermain di tahap paling tinggi untuk memenangi trofi.

"Saya beruntung kerana kerjaya saya sudah sampai sejauh ini tetapi masih ada banyak lagi yang boleh saya tawarkan.

"Saya perlu beraksi dalam UCL. Saya hanya perlukan peluang, itu sahaja. Selebihnya saya akan usahakan."

Palace menduduki tangga ke-13 Liga Perdana dan akan melawat Arsenal, esok.