EVERTON 1 WEST HAM UNITED 3

Andriy Yarmolenko dan Marko Arnautovic mengemudi West Ham United ketika menewaskan Everton 3-1 di Goodison Park awal pagi tadi, sekali gus memberikan pengurus pasukan, Manuel Pellegrini, kemenangan pertama pada hari ulangtahun kelahirannya yang ke-65.


Kekalahan bakal menyaksikan West Ham gagal mengutip sebarang mata dalam lima aksi awal Liga Perdana Inggeris buat kali pertama, namun mereka mempamerkan permainan menyerang yang hebat untuk menghukum benteng Everton yang mudah dibolosi.

Walaupun skuad bimbingan Marco Silva itu tampak lebih menyerlah, mereka dikejutkan dengan gol pendahuluan pelawat daripada Yarmolenko pada minit ke-11 sebelum tonggak Ukraine itu, yang meraih peluang dalam kesebelasan pertama pasukan buat kali pertama, menambah gol kedua selepas setengah jam beraksi.

Gylfi Sigurdsson memberikan harapan buat tuan rumah dengan jaringan sebelum rehat tetapi West Ham membunuh sisa-sisa kebangkitan Everton dengan gol ketiga menerusi Arnautovic, sekali gus menamatkan permulaan kempen yang buruk, musim ini.

Keputusan Pellegrini untuk meletakkan tiga pemain di bahagian serangan membuahkan hasil apabila dua daripada mereka menyumbat gol setelah Arnautovic memintas benteng lawan dan melorongkan bola buat Yarmolenko membuka tirai jaringan.

Yarmolenko sekali lagi mengejutkan Everton 20 minit kemudian apabila melakukan larian ke arah Kurt Zouma sebelum melepaskan tendangan lencong kaki kiri menewaskan Jordan Pickford dari jarak 18 ela.

Namun, Everton diberikan sedikit harapan sebelum rehat selepas tandukan Sigurdsson yang menerima hantaran lintang Jonjoe Kenny melepasi Lukasz Fabianski.

Everton jelas bersemangat dengan gol tersebut dan meneruskan tekanan ke kubu pelawat, namun segalanya dipadamkan dengan jaringan ketiga The Hammers menerusi Arnautovic selepas melancarkan gerakan bersama Pedro Obiang.

Tuan rumah terus gagal dalam percubaan untuk mengejar kedudukan setelah sekadar melihat usaha pemain gantian, Oumar Niasse, singgah ke palang gol selepas menerima hantaran Lucas Digne tatkala West Ham terus unggul untuk mengesahkan kemenangan.