Xhaka penting buat pasukan -- Emery

Oleh Staff Writer 23 September 2019
Xhaka penting buat pasukan -- Emery
Pengurus Arsenal, Unai Emery, mempertahankan Granit Xhaka selepas diejek oleh penyokong sendiri ketika menewaskan Aston Villa 3-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris, malam tadi.

The Gunners, yang menyaksikan Ainsley Maitland-Niles dibuang padang dalam babak pertama, dilihat menuju kekalahan di laman sendiri selepas jaringan John McGinn dan Wesley tatkala Nicolas Pepe meraih gol pertama buat Arsenal.

Calum Chambers menyamakan kedudukan pada minit ke-81 dan Pierre-Emerick Aubameyang mengesahkan tiga mata dramatik menerusi sepakan percuma ketika aksi berbaki enam minit.

Bagaimanapun, ketika Xhaka dikeluarkan untuk memberi laluan kepada Joe Willock, sebahagian besar penyokong menyatakan rasa tidak puas hati dengan persembahan pemain tengah Switzerland itu.

Namun, Emery berkata pemain berusia 26 tahun itu masih memainkan peranan utama dalam perancangannya dan mahu melihat sokongan daripada peminat kepadanya.

"Kami perlukan sokongan peminat, membantu setiap pemain," katanya.

"Menjadi tugas kami untuk menjalankan tanggungjawab dan Xhaka melakukannya.

"Dia bermain cemerlang ketika menentang Eintracht Frankfurt dalam aksi Liga Europa, begitu juga dalam pertemuan dengan Watford, minggu lalu. Di sini, saya mengubahnya kerana dia beraksi 90 minit pada Khamis lalu dan mahu membawa masuk pemain segar.

"Namun, Xhaka pemain penting kami. Dia mempunyai tanggungjawab besar dan sedang meningkat. Saya tidak meminta semua menyokongnya tetapi saya yakin dia akan mencapai tahap terbaik jika menerima sokongan.

"Kami profesional dan Xhaka pemain berpengalaman. Dia sedar kadangkala kami berdepan kritikan dan perlu lebih matang serta terus berusaha.

"Bagi saya, dia pemain penting dan saya akan menyokongnya. Saya membuat keputusan bila dia akan beraksi tetapi dia penting buat kami kerana komitmen dan tahap disiplinnya bagus. Dia seorang pemain bagus."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen