West Ham mengesahkan pemain tengah, Jack Wilshere, telah menjalani pembedahan buku lali.

Pemain tengah itu terlepas kemenangan 3-1 ke atas Everton kelmarin, yang menyaksikan skuad kendalian Manuel Pellegrini itu menamatkan rentetan kekalahan empat perlawanan berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

West Ham mengumumkan semalam bahawa pemain kebangsaan England itu telah menjalani pembedahan tetapi ketua pegawai perubatan pasukan, Richard Collinge, memberikan bayangan bahawa Wilshere tidak akan berehat panjang.

"Wilshere telah selesai menjalani pembedahan di London kerana kecederaan ringan pada bahagian buku lali," kata Collinge.

"Pembedahan tersebut telah berjalan lancar dan seperti yang dirancang.

"Kami menjangkakan dia tidak akan berehat panjang dan bakal memulakan proses pemulihan serta bakal kembali menjalani latihan secepat mungkin."

Wilshere tampil dalam empat aksi EPL sejak menandatangani kontrak selama tiga tahun selepas meninggalkan Arsenal.

West Ham akan menerima kunjungan Chelsea minggu depan dan bakal berdepan Manchester United sebelum tamat bulan ini.