Pemain tengah Liverpool, Georginio Wijnaldum, percaya pasukannya masih jauh dalam usaha untuk mengejar pencapaian Manchester City walaupun berdepan harapan besar selepas ketibaan beberapa bintang baru seperti Alisson, Naby Keita and Fabinho.

Pasukan bimbingan Jurgen Klopp menamatkan saingan musim lalu dengan perbezaan 25 mata berbanding City tetapi memenangi kesemua empat perlawanan liga musim ini untuk bermula cemerlang.

Mereka hanya mengesahkan status ke Liga Juara-Juara Eropah pada hari terakhir musim lalu walaupun melayakkan diri ke pentas final Liga Juara-Juara Eropah pada Mei lalu, sebelum tewas di tangan Real Madrid akibat daripada dua kesilapan Loris Karius.

Namun, Wijnaldum berpendapat bahawa The Reds masih menghadapi laluan yang jauh untuk meraih kejayaan dalam liga walaupun City mencicirkan dua mata susulan keputusan seri ketika berdepan Wolverhampton Wanderers.

"Mungkin harapan terlalu besar," kata Wijnaldum.

"Kami bukan hanya bersaing dengan City dalam Liga Perdana Inggeris musim lalu. Apabila anda 25 mata di belakang, ia bukan bersaing.

"Namun, sebagai pemain, saya gembira dengan kehadiran Virgil Van Dijk dan memasuki bilik persalinan dengan keyakinan untuk mencapai sesuatu bersama pasukan sebegitu.

"Kami melakukan segala yang kami mampu. Saya hanya boleh tegaskan bahawa kami mencuba. Tiada makna sekiranya melalui sepanjang musim ini dengan mengatakan, 'kami harus menjadi juara, kami harus mendapatkan sesuatu'.

"Kami harus melakukan apa yang betul untuk meletakkan kami dalam kedudukan itu, memberikan kami peluang. Melihat terlalu jauh adalah satu kesilapan."

Walaupun dicabar dengan kehadiran Keita dan Fabinho, Wijnaldum tetap beraksi dalam kesebelasan utama Liga Perdana Inggeris pada musim ini.

Wijnaldum menerima bahawa wujud tekanan daripada luar tatkala Liverpool mahu menamatkan kemarau trofi sejak 2012 selepas berbelanja besar dalam skuad.

"Apa yang menjadi bualan ramai adalah mengenai perbelanjaan mendapatkan pemain," tambahnya.

"Harapan menjadi lebih besar kerana kami berbelanja. Kami kehilangan Philippe Coutinho tetapi mendapatkan tiga atau empat pemain hebat.

"Jika Chelsea atau Arsenal melakukannya, saya pasti ia menjadi sama. Orang ramai akan berpendapat mereka wajib menang. Ia mudah untuk difahami dan mereka berhak memberikan pendapat.

"Namun, kami juga dalam proses. Beberapa tahun lalu, tiada siapa yang percaya kami akan berada pada tahap ini. Kini, kami begitu bagus dalam Liga Juara-Juara dan mula merasakan kejayaan.

"Anda boleh lihat pemain-pemain dan pengurus pasukan begitu bertenaga selepas kembali daripada rehat walaupun ada yang beraksi dalam Piala Dunia.

"Selepas melangkah ke final, kami mahukan lebih lagi."