West Ham United menolak laporan mengatakan bahawa David Moyes akan ditamatkan khidmatnya pada penghujung musim ini walaupun jika mampu mengelakkan kelab itu daripada zon penyingkiran.

Bekas pengendali Manchester United itu mengambil-alih kerusi panas West Ham selepas Slaven Bilic dipecat pada November lalu ekoran prestasi hambar skuad sejak awal musim.

Dia membimbing pasukan meraih empat mata dalam pertemuan dengan Chelsea dan Arsenal pada Disember lalu tetapi dalam lima aksi terakhir liga, West Ham hanya mencatat satu kemenangan.

Situasi itu meletakkan The Hammers hanya dibezakan tiga mata dengan zon penyingkiran, namun dakwaan khidmatnya akan ditamatkan pada akhir musim ini pantas ditolak oleh kelab itu.

"Pihak kelab ingin menyangkal dakwaan yang dikeluarkan oleh The Daily Telegraph berkaitan pengurus, David Moyes.

"Kisah itu tidak benar. Seperti yang dipersetujui sebelum ini, West Ham dan Moyes terikat dengan kontrak sehingga hujung musim ini dan perbincangan akan dilakukan selepas itu.

"Sehingga kini, pihak pengurusan dan Moyes akan terus berkhidmat buat kelab. Fokus utama semua orang di sini adalah mendapatkan keputusan yang baik buat pasukan," kata satu kenyataan West Ham.

The Northern Echo melaporkan pengendali Newcastle United, Rafael Benitez, menjadi sasaran utama sebagai pengurus sekiranya kontrak Moyes tidak diperbaharui.