West Ham akan menjalankan siasatan selepas tersebar satu video memaparkan peminat yang melakukan ejekan perkauman terhadap penggempur Liverpool, Mohamed Salah, ketika pertemuan kedua-dua pasukan Isnin lalu.

Menerusi satu rakaman telefon bimbit yang dikongsi di media sosial, seorang penyokong di bahagian West Ham didengar memaki Salah dan mengejek ajaran Islam yang diamalkan bintang Mesir itu.

Memetik kenyataan daripada West Ham: "Di West Ham, kami tidak bertoleransi terhadap mana-mana jenis tingkah laku keganasan atau ejekan.

"Sesiapa yang didapati terlibat akan dilaporkan kepada polis dan berdepan penggantungan seumur hidup daripada memasuki Stadium London. Tiada tempat untuk tingkah laku sebegitu di dalam stadium kami."

Omnisport percaya pihak polis sedar mengenai insiden itu tatkala kumpulan kempen anti-diskriminasi, Kick It Out, juga cuba mendapatkan maklumat terperinci.

West Ham dan Liverpool seri 1-1 dalam aksi tersebut selepas Michail Antonio memadamkan jaringan pendahuluan The Reds daripada Sadio Mane.