Pemain pertahanan West Ham United, Winston Reid, menandatangani kontrak baru selama enam tahun bersama pasukannya.

Reid menyertai West Ham pada tahun 2010 selepas berhijrah dari kelab Denmark, Midtjylland, dan terus menampilkan aksi memberansangkan sehingga dipilih sebagai pemain terbaik pasukan pada tahun 2013.

Kontrak baru itu menyaksikan pemain skuad kebangsaan New Zealand itu bakal menamatkan kariernya bersama skuad kendalian Slaven Bilic dan dia jelas gembira dengan kontrak baru tersebut.

“Saya dan keluarga gembira di sini, jadi ia memudahkan setiap keputusan,” kata Reid.

“Setiap detik di sini saya suka, menikmati bola sepak di sini, melakukan perkara yang saya cintai sejak kecil.

“Saya amat bersyukur dengan apa yang saya kecapi bersama West Ham dan mahu melalui cabaran seterusnya,” tambahnya.

Reid melakukan penampilan ke-150 dalam aksi pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, namun tidak bernasib baik apabila tewas di tangan Manchester United 4-0 di tempat lawan.

Bagaimanapun, dia percaya pasukannya mampu menandingi pencapaian menduduki tangga ke-11 pada musim lalu.

“Setiap tahun, kami mahu meningkatkan kualiti pasukan dan saya rasa pemain dan juga kelab sendiri memainkan peranan yang penting.

“Saya sudah berada di sini selama tujuh tahun dan mula berasa tua tetapi saya gembira dan bersyukur masih di sini.”