Wenger tinggalkan Arsenal hujung musim ini

Oleh Staff Writer 20 April 2018 2797
Wenger tinggalkan Arsenal hujung musim ini
Arsene Wenger akan meninggalkan Arsenal penghujung musim ini, sekali gus menamatkan tempoh 22 tahun mengendalikan kelab itu.

The Gunners, yang kini menghuni tangga keenam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan dijangka terlepas kelompok empat pasukan teratas buat kali kedua berturut-turut, meletakkan harapan menjuarai gelaran Liga Europa (UEL) untuk kembali ke saingan Liga Juara-Juara (UCL).

Wenger telah menjuarai EPL tiga kali dan tujuh Piala FA, termasuk 'The Double' pada tahun 1998 dan 2002.

"Saya amat beruntung kerana dapat berkhidmat untuk kelab ini dalam tempoh yang sangat panjang," katanya. 

"Saya mengurus kelab ini dengan penuh komitmen dan integriti.

"Kepada penyokong Arsenal, teruskan menjaga nilai sesebuah kelab," katanya.

Pemegang saham majoriti Arsenal, Stan Kroenke, menyifatkan pengumuman itu adalah "salah satu keputusan yang paling berat dilakukan dalam tempoh yang sangat panjang."

"Salah satu sebab kami terlibat dengan Arsenal adalah Wenger telah mengangkat kelab ini di dalam dan di luar padang.

"Persembahan konsiten yang dipamerkan oleh Wenger yang menyaksikan kelab ini berada pada tahap tertinggi, adalah sesuatu yang tidak mampu ditandingi."

Dilantik pada 1 Oktober 1996, beliau merupakan pengurus yang paling lama mengendalikan kelab dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan merekodkan 823 perlawanan.

Tetapi terdapat segelintir penyokong yang mula berpaling dengan Wenger sejak dua musim lalu di atas keputusan yang kurang memberangsangkan.

Kekalahan 2-1 kepada Newcastle United dalam aksi terbaru menyamai rekod terburuk Arsenal di bawah kendalian Wenger.
 
Arsenal menamatkan saingan di luar kelompok empat terbaik musim lalu dan bakal mengharungi nasib yang sama musim ini ketika ketinggalan 14 mata kepada Tottenham yang menghuni tangga keempat, dengan berbaki lima perlawanan.

Arsenal akan berdepan Atletico Madrid dalam aksi separuh akhir Liga Europa (UEL), minggu depan.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen